Saturday, May 22, 2010

Cinta Kampus : Matlamat Halalkan Cara

Matlamat salah cuba menghalalkan cara.

Melalui hidup sebagai remaja, hidup di universiti yang berjauhan daripada ibu bapa, sedikit sebanyak, tempiasnya akan terkena juga. Terlalu banyak dugaan dalam cinta siswa siswi dan tidak semudah kata-kata untuk memelihara diri. Kehidupan di kampus yang jauh daripada pengawasan keluarga menyebabkan diri mudah terpedaya dengan ajakan nafsu.

Bagi mereka yang sudah terjebak, bukan mudah untuk membuat keputusan yang rasional di saat emosi dan perasaan sedang berkecamuk. Kalau ambil keputusan untuk berpisah, adakah masih ada lelaki lain yang seperti dia? Kalau diteruskan hubungan ini, sanggupkah aku menanggung dosanya?

Tiada siapa yang akan menolong aku kalau bukan aku. Kekuatan itu mesti bangkit daripada dalaman diri sendiri. Jika niat itu sudah nekad, Allah Taala akan permudahkan jalan itu.

Inilah dunia sekarang yang penuh dengan kekeliruan dan jauh daripada penghayatan Islam sebenar. Masing-masing menggunakan agama sebagai pasport untuk membuat kebaikan daripada kaca mata mereka sendiri bukannya apa yang telah digariskan oleh Allah Taala dan Rasul.

Walaupun pada awalnya kita berniat hendak melakukan sesuatu yang baik, tapi mudah sungguh syaitan dan nafsu memesongkan niat suci itu dalam pelbagai cara yang cukup kreatif. Rasanya ramai remaja merasakan perlu kepada teman lelaki atau perempuan yang berlainan jantina merupakan satu ‘keperluan’ untuk rasa sempurna. Tempiasnya terkena juga kepada golongan remaja khususnya siswa dan siswi yang nampak komited pada kerja-kerja dakwah.

Sememangnya manusia lebih terdedah kepada kebaikan yang adakalanya mengaburi mata mereka, walhal perkara itulah sebenarnya yang mengundang malapetaka buat diri mereka sendiri. Begitu payahnya kita mahu membezakan perkara yang baik dan yang benar-benar baik. Apabila kita sudah terhantuk barulah kita baru terngandah itulah sebenarnya kesilapan.

Mereka tahu mereka hidup dalam dosa dan kesalahan, cuma yang penulis tidak faham bagaimana mereka boleh rasa sayang untuk lepaskan pasangan semata-mata mereka rasa dalam perhubungan mereka masih ada kebaikan, bersandarkan kepada sms tazkirah, suruh bangun tahajjud. Bagaimana mereka memandang dan menilai kebaikan?



MATLAMAT HALALKAN CARA

Penulis rasa gusar memandangkan beberapa kes yang banyak berlaku di kalangan mereka ingin membawa Islam, tetapi akhlak pergaulan muslimah dan muslimin tidak dijaga.

Hanya berbekalkan perkataan yang berbentuk perbincangan, jihad, tazkirah, dan mengejutkan untuk ber-tahajjud, sinonim dengan perbincangan berbau Islam mereka anggap hubungan mereka ini sudah diredhai walaupun hanya sekadar bertelefon, sms, e-mail dengan luahan perasaan cinta masing-masing.

Tambahan lagi pengaruh nasyid temporari kini yang hangat mengutarakan lagu cinta sesama muslim menjadi penghangat cinta bagi mereka yang menghalalkan cara.

Segala-galanya adalah mainan perasaan yang kerap melihat kebaikkan di dalam dosa itu, dan amat jarang bagi kita untuk bermuhasabah di atas kebaikkan-kebaikan yang kita sangkakan telah dilakukan. Memanglah alam remaja, teramat indah jika ada orang lain yang sentiasa caring ke atas kita, tetapi percayalah ianya hanyalah khayalan sementara kerana selepas hidup bersama barulah kita tahu kelemahan dan keburukan pasangan masing-masing.

Bila anak-anak sudah bertambah dan kesibukan hidup pun juga bertambah, hilanglah segala impian-impian dan angan-angan terdahulu.

Kepada adik-adik remaja, khususnya mereka yang di bangku menara gading, jauhilah maksiat ber-couple atau apa sahaja perlakuan mungkar kerana semuanya itu saling membuktikan kepada Allah Taala bahawa kalian berdua amat berani mendurhakai Allah Taala. Rumahtangga dibina bukan hanya atas cinta, tetapi juga pada saling mempercayai.

Jika Allah sudah diingkari, siapa lagikah yang boleh dijadikan tempat meletakkan kepercayaan? Dosa semalam akan pasti menjadi kecurigaan hari ini, esok dan selamanya.

Muhasabahlah kalian.



HAYATI AJARAN ISLAM SEBENAR

Kita bincang pasal manusia, naluri manusia suka dicintai dan mencintai, hati pula kalau sentiasa senang akan menjadi bosan tapi kalau sentiasa susah hati akan menjadi rawan, nafsu adalah kelemahan manusia. Barang siapa berjaya menundukkan nafsu, martabatnya akan menyaingi malaikat, kalau ditundukkan oleh nafsu akan turun lebih rendah daripada binatang.

Memang susah merubah seorang musuh menjadi kawan, kemudian menjadi sahabat, memadamkan kemarahan hati dan merubah muka marah dengan senyum, memberi maaf kesalahan sehingga udara yang tadinya mendung menjadi terang benderang. Memang susah melakukan itu, dan ini hanyalah pekerjaan orang yang berhati waja, mempunyai kemahuan yang besar dan bercita-cita mulia.

Namun sedar atau tidak, takwa kepada Allah Taala adalah yang perlu ditekankan. Betapa beratnya balasannya andai kita tersilap langkah dan akhirnya terjerumus ke arah maksiat yang pastinya kita semua maklum tentang balasan Tuhan.

وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُواْ فِينَا لَنَہۡدِيَنَّہُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang berusaha (berjihad) dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan kami, dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya” al-Ankabut (29:69)

Usahlah berlengah lagi untuk berhijrah, andai sudah terdetik dalam hati bahawa perlakuan kalian buat ini adalah salah dan dilaknat Allah Taala, segeralah berhijrah kerana teramat khuatir andai hanya kali ini sahaja peringatan Allah Taala datang untuk menegur kita dan kita pula tidak mengendahkannya, kita akan terus hanyut dengan dosa kita sampai ke akhir hayat kita.

Perlakuan matlamat menghalalkan cara mengelabui mata.

Perintah itu wajib.

Berjihadlah dalam mencari cinta yang suci iaitu cinta selepas pernikahan. Mengapa mencari kaca andai telah dijanjikan permata, dan mengapa mencari api yang membakar kalau sudah dijanjikan salju dingin. Bersabarlah untuk sesuatu yang lebih manis pada masa akan datang.

Jika kita mencari redha Allah dengan kemarahan manusia, nescaya dicukupkan Allah dengan keredhaannya , jika kita mencari kemarahan Allah dengan keredhaan manusia nescaya Allah Taala serahkan kita kepada manusia.

Mua’dz ra berdoa sebelum kematiaannya: “Aku mencintai hidup hanya untuk tiga perkara iaitu untuk berpuasa di siang hari, untuk qiammullail di malam hari dan untuk berkumpul dengan para ulama”.

Carilah kesibukkan di antara terlopong masa dengan pekerjaan, daripada sesenang pekerjaan yang dikira ibadat yang boleh menghasilkan pahala. ameen



Monday, May 17, 2010

Remaja : Iman VS Rakan

Alam remaja tak lekang cabaran. Daya inkuiri yang tinggi untuk mencuba sesuatu yang baru amat ketara. Perasaan dan keinginan bergelora hebat. Ia suatu tempoh transisi menuju dewasa. Rakan sebaya biasanya sangat berpengaruh dalam kehidupan seseorang remaja dalam tempoh ini.

Seringkali setiap remaja keliru untuk berhadapan dengan segala sesuatu. Sukar untuk menentukan bagaimanakah sepatutnya perasaan, konsep dan penilaian sebenar terhadap masalah-masalah, terhadap peristiwa-peristiwa dan juga terhadap individu manusia pada keseluruhannya.

Firman Allah S.W.T. ;

وَلا تَهِنُوا وَلا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الأعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

" Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamu orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman. "
(Surah Ali 'Imran: ayat 139)


Rasa mulia dan tinggi dengan iman, suatu perasaan yang sungguh memotivasikan hidup. Perasaan ini akan menjadikan hidup lebih terarah dalam menghadapi setiap realiti, kemungkinan dan nilaian manusia. Muslim beriman akan memegang Iman dan nilainya mengatasi segala bentuk nilai yang datang dari sumber yang lain. Sungguh hebat perasaan ini mempengaruhi hidup seseorang yang yakin dengannya.

Begitulah remaja beriman takkan mudah goyah dengan nilaian kawan-kawan. Tetap teguh pendirian apabila kawan-kawannya mengejek lekeh jika tidak merokok. Atau memandang tak laku jika belum berpunya. Dia tak mudah melatah apabila dianggap ’skema’. Imannya menjadi perisai apabila diajak berfoya-foya.

Hebat sekali kuasa iman. Rasa mulia dengan iman ini suatu perasaan yang perlu ditanam dan disuburkan hinggalah ianya tidak menjadi suatu perasaan yang hangat-hangat tahi ayam sahaja. Perasaan agung itu mestilah berdasarkan kebenaran Allah yang Maha Hidup dan tidak mengenal mati. Kebenaran yang tetap hidup walaupun dicabar oleh kekuatan, oleh konsep dan realiti yang sering berlegar dalam kehidupan seharian remaja.

Contohnya, remaja beriman akan tegas berkata,

”Saya takkan menjadi robot yang hanya terpacak di hadapan tv, diikat hidung oleh media yang sering menghidangkan hiburan.”

Kebanyakan remaja hari ini terdedah dengan arus globalisasi hingga mempunyai cara berfikir sendiri yang sangat berpengaruh sesama mereka. Persekitaran dan didikan juga menyebabkan mereka mempunyai nilai-nilai yang sukar untuk ditentang; nilai yang menekan rakan sebayanya untuk turut terikat dengannya.

”Tak keluar dating? Apa kuno sangat kamu ni? Ni bukan zaman nenek moyang dulu.”

Inilah hanyalah salah satu contoh pemikiran remaja kita.

Cara berfikir, dan nilai itu menekan remaja lain yang tidak mempunyai persediaan yang kukuh. Begitu juga setiap konsep yang membelenggu cara berfikir remaja hari ini memang mempunyai ikatan yang kukuh dan kuat, yang sukar dikikis jika tidak dihadapi dengan suatu konsep yang kebal yang diceduk dari Allah S.W.T. Setiap remaja yang menentang arus, yang menentang cara berfikir remaja lain, menentang nilai hidup mereka dan sebagainya, tentu akan merasa tersisih dan bersedih hati, jika tidak berpegang kepada dahan yang lebih kukuh dari manusia itu sendiri.


Allah S.W.T. pasti tidak membiarkan orang-orang yang beriman keseorangan menghadapi tekanan, kesepian menanggung beban yang berat itu. Oleh kerana itu, sungguh indah (Surah Ali 'Imran: ayat 139) memujuk setiap orang beriman. Sesungguhnya orang yang beriman itulah orang yang paling tinggi darjat tempat pergantungannya.

Kenapa nilai remaja lain perlu lebih berpengaruh dalam hidup kita berbanding nilaian Allah yang menciptakan kita semua?

Fikir-fikirkanlah.

Contohilah keberanian Rabi’ bin Amir dalam menyatakan imannya di hadapan Rustam menjelang perang Qodisiyyah.

"Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya daripada pengabdian terhadap hamba kepada pengabdian kepada Allah s.w.t., dari kesempitan dunia kepada keselesaan hidup dunia dan akhirat, juga dari kezaliman agama-agama lain kepada keadilan Islam. "

Wahai remaja beriman, kita belum lagi diuji berhadapan kuasa kafir sebagaimana Rabi’ bin Amir berhadapan Rustam, kita baru diuji berhadapan dengan suara-suara rakan sebaya. Kenapa perlu gentar menyatakan iman kita terhadap mereka bagi menolak segala ajakan dan dakwaan yang tidak sihat? Jangan mudah mengalah. Rasa mulia dan tinggilah dengan iman.

Pahitnya Perjuangan





Tit..Tit…

Handphone jenama myiman kesayangan Khairunnisa’ berbunyi sebaik sahaja kakinya melangkah keluar dari bilik mesyuarat di blok pengurusan. Mesyuarat yang diadakan pada waktu malam memang sungguh memenatkan, namun demi tanggungjawab dan amanah yang digalas, dia redha…

Segera tangannya mencapai handphone di poket jubah birunya dan menekan butang read.

Assalamualaikum akak.. saya nak tumpang tanya sikit boleh?

Terukir senyuman di bibir gadis solehah itu sebaik sahaja melihat mesej daripada seorang insan yang sudah dianggap seperti adiknya sendiri. Hidayah – namanya seindah tuannya, tidak pernah jemu mencari walau secebis cahaya Ilahi. Terkenang kembali detik-detik pertemuan mereka. Pada waktu itu Khairunnisa’ menyertai program wawasan desa anjuran kolejnya dan menginap di rumah Hidayah selama 4 hari. Di situlah ukhwah bermula, semuanya kerana Allah..

Waalaikumsalam adikku sayang… untuk adik, boleh je.. nak tanya apa ye?

Segera dia membalas. Sementara menunggu balasan, kaki terus dihayun menuju ke asrama. Bagaikan terbayang-bayang katil yang empuk di hadapan mata khairunnisa’. Segera dia beristighfar, mengelakkan diri dari mengeluh..

“Macam penat aje?” Sahabat karibnya, Aliyah menegur.

“Takpe. Sikit-sikit je.. awak pun penat juga kan?”

“Hm, lepas habis projek ni.. lega rasanya”

“InsyaAllah… ni baru kat kolej, dah kerja nanti mesti lagi banyak tanggungjawab kan? Amanah itu kan ringan di dunia tapi berat di akhirat”

Suasana senyap. Masing-masing cuba menilai prestasi diri… Kaki dihayun, hati berzikir…

* * *

Khairunnisa’ terduduk kepenatan. Rasa kasihan melimpah ruah melihat Aliyah terbaring kelesuan, apatah lagi tugas sebagai setiausaha yang disandang oleh Aliyah memang benar-benar menguji kredibilitinya. Khairunnisa’ yang hanya memegang tugas sebagai bendahari sudah terasa bahang kepenatan, ini kan pula sahabat yang dikasihinya itu..

“Bersabarlah sahabatku… Allah bersamamu”

Terasa ingin dikucup penuh kasih pipi milik sahabatnya itu, namun memikirkan kemungkinan dia akan terbangun, Khairunnisa’ membatalkan hasratnya…

Tit.. Tit…

Handphone myiman berbunyi nyaring. Khairunnisa’ bangun mendapatkan handphonenya.

New Message From Hidayah.

Tertera ayat itu pada skrin handphonenya. Butang read ditekan..

Macam ni akak, tadi saya pergi pasar malam… kat situ ramai lelaki-lelaki handsome, kalau tak ada iman memang dah lama dah habis saya ni… masalahnya kak, kalau saya jeling-jeling je lelaki tu boleh ke?

Khairunnisa’ termenung jauh. Mesej itu mengingatkannya pada firmanNya dalam surah An-Nur ayat 30 yang bermaksud :

Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya.”

Sejenak, dia teringat peristiwa pada petang tadi….

* * *

“Nisa, teman Aliyah kejap pergi pejabat ye… Aliyah nak serahkan proposal projek ni”

“Ye… Tapi Nisa tunggu kat luar aje lah ye”

“Ok”

Sementelah Aliyah masuk ke pejabat, Khairunnisa’ menghampiri Syafiqah yang duduk keseorangan di kerusi hadapan pejabat. Asyik mereka berbual sehinggalah datang dua orang muslimin sekelas-Ilyas dan Saiful menghampiri mereka. Khairunnisa’ kelihatan gelisah. Muslimin itulah yang kerap benar mengganggu hidupnya. Lama mereka berdiri di situ. Khairunnisa’ menundukkan pandangan sebaik mungkin.

“Tak balik Johor ke?”

Berderau darah Khairunnisa’. Dia tahu soalan itu ditujukan khas buatnya namun sengaja dia berpura-pura tidak mendengar. Kepala ditolehkan ke arah lain.

“Khairunnisa’ ”

Tegas suara itu memanggil. Tiada pilihan, khairunnisa’ menoleh sekilas.

“Tak kot” Lemah dia menjawab, kepala kembali ditundukkan.

“Johor kat mana?” Saiful pula mencelah. Khairunnisa’ diam.

“Kat Larkin kan?” Ilyas pula yang menjawab. Khairunnisa’ hanya mampu mengangguk lemah. Malunya tidak terkata. Apatah lagi melihat senyuman asing yang terukir di wajah syafiqah. Terasa seperti maruah diri dirobek-robek.. mahalnya sebuah harga diri!

Mujur, kelibat Aliyah kelihatan baru keluar dari pejabat. Cepat-cepat Khairunnisa’ mengatur langkah pergi dari situ.

* * *


Adikku sayang.. wanita yang solehah itu tidak suka memandang dan tidak suka dipandang.

Setitis demi setitis air mata Khairunnisa’ gugur mengiringi mesej itu… Terkenang kembali kelemahan diri yang masih menjadi perhatian kaum Adam.

“Ya Allah, moga kau ampuni dosaku… Kau berilah hidayah kepada sesiapa sahaja yang berada di sekelilingku”

Khairunnisa’ tertidur dalam sendu yang masih belum berhenti…

* * *

“Alhamdulillah.. semuanya telah selesai.. proposal sudah pun diluluskan. Sekarang ni tinggal nak pergi je ke destinasi” ceria suara Aliyah menyampaikan berita gembira menghiasi pagi Khairunnisa’.

“Syukur ya Allah… berbaloi juga hasil kerja keras kita selama ini… tak sia-sia kita korban kan masa dan tenaga demi mendapatkan hasil yang terbaik… Allah sentiasa menolong hambaNya yang bertaqwa kan Aliyah?”

Aliyah tersenyum senang. Orang mukmin itu tidak akan mudah mengalah kerana orang mukmin itu sentiasa mahu kan yang terbaik, bukan untuk dirinya tapi untuk Islam tercinta…

“Lepas ni. Bolehlah kita relaks ye Aliyah”

“Nisa! Tak boleh… kan kita dah nak final exam… Nisa ingat tak ustazah pesan apa?”

“Maaf Aliyah, Nisa terlupa…”

“Hm, takpe, itulah gunanya sahabat… saling melengkapi… ustazah kan pesan jangan sampai diri kita ni jadi fitnah kepada Islam, jangan kerana kita sibuk berpersatuan pelajaran terabai… nanti mengundang fitnah”

“Astarghfirullah… terima kasih Aliyah…”

Perjuangan menuntut ilmu tidak pernah mengundang lega tetapi lelah semata kerana perjuangan menuntut ilmu itu dikira sebagai Ibadat di sisi Allah, yang menjadi bekalan kita di sana nanti. Perjuangan itu mengundang air mata yang tidak pernah kan berhenti. Bila ditanya mengapa berjuang itu pahit? Simpan jawapan ini kemas-kemas dalam hati… kerana syurga itu manis!

Bagai terngiang-ngiang suara ustazah memberi pesan seperti seorang ibu kepada Khairunnisa’. Khairunnisa’ tersenyum lega… segera dia teringat kepada hidayah.

Handphone dicapai dan dia mula menaip..

Adikku sayang fillah… Gadis yang solehah malunya mengatasi perawan, beraninya mengatasi pahlawan, cinta bukan pada gambaran, rindunya bukan pada pertemuan tapi hatinya tersirat takwa keimanan… moga adik beroleh hidayahNya yang amat berharga…